PETALING JAYA: Siti Kasim mempersoalkan sikap berdiam diri ahli politik berhubung ancaman terhadap nyawanya apabila bom ditemui pada keretanya.
Peguam yang juga seorang aktivis itu berkata, tiada kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik mengutuk perbuatan itu.
Katanya, ahli politik harus mengkaji dengan serius betapa beratnya jenayah itu, yang juga boleh berlaku kepada mereka.
“Bagaimana kalau suatu hari bom diletakkan pada kenderaan ahli politik? Adakah mereka hanya akan bersuara pada ketika itu?” soalnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ahli politik dan kerajaan berdiam diri mengenai kejadian itu kerana tidak boleh dikaitkan dengannya.
“Mungkin mereka fikir jika keluarkan kenyataan mengikut perbuatan itu, seolah-olah sokong Siti Kasim, tetapi ini bukan tentang saya.
“Fahamlah apabila pembangkang tak kata apa-apa, tetapi sekurang-kurangnya kerajaan perlu mengutuk perbuatan keganasan ini,” katanya.
Menurut Siti, polis memberitahunya hanya individu tertentu seperti militan yang boleh membina alat letupan jenis “improvised explosive system” (IED) seperti yang ditemui pada keretanya.
Beliau berkata, polis sedang menyiasat kes itu dan terdapat perkembangan yang belum dapat dikongsikannya.
Jumaat lepas, Siti berkata, beliau dimaklumkan tentang dua objek mencurigakan di bawah keretanya selepas menghantarnya ke bengkel di Bangsar.
Awal hari ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, bom yang ditemui di bawah kereta itu adalah “umpama cubaan bunuh” terhadap Siti.
Razarudin berkata, polis kini mengesan suspek melalui cap jari dan bukti lain berkaitan.