Banyak orang gila judi
Banyak orang gila judi
Hai judi merosak diri
Merosak diri
Banyak yang setengah mati
Akibat judi
– Petikan lagu Gila Judi nyanyian Allahyarham Datuk M. Daud Kilau
JUDI.
Adakah kita memahami apa yang dimaksudkan dengan judi? Pada kebiasaannya, judi merujuk kepada pertaruhan yang biasanya melibatkan wang mahupun barang berharga bagi mendapatkan keuntungan melalui suatu tindakan. Pada masa kini terdapat pelbagai kaedah dan cara untuk berjudi, seperti pertaruhan dalam acara-acara sukan, pertaruhan di kasino dan pusat-pusat perjudian, pertaruhan nombor ekor, bahkan melibatkan permainan daun terup bersama-sama rakan atau kenalan semasa penganjuran acara bersama keluarga dan rakan-rakan.
Seseorang itu tidak akan terlibat dengan judi jika tiada tarikan dan sebabnya. Oleh itu, mengapa seseorang itu berjudi? Antara faktor yang menarik minat seseorang untuk terlibat dengan kegiatan judi adalah seperti berikut:
- Hiburan dan rekreasi
- Peluang menambah pendapatan
- Ketagihan dan keseronokan ketika menang pertaruhan
- Peluang mengaplikasi kemahiran ramalan dan pengetahuan
- Budaya setempat
- Penyelesaian masalah emosi
Daripada perspektif agama Islam, judi dianggap sebagai aktiviti yang tidak dibolehkan ataupun HARAM. Pandangan ini adalah berdasarkan kepada ajaran al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W yang menekankan pentingnya keadilan, menjaga harta benda, dan menghindari amalan mahupun kegiatan yang boleh mendatangkan kerugian kepada individu dan masyarakat. Oleh itu, umat Islam diajarkan untuk menghindari judi dan memilih sumber serta cara yang halal selari dengan ajaran agama dalam mencari nafkah dan memenuhi keperluan hidup.
Firman Allah di dalam surah al-Baqarah (2:219), Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi, katakanlah “pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.”
Selain daripada itu, hadis Nabi Muhammad S.A.W. juga jelas menegaskan larangan terhadap perjudian. Salah satunya menyatakan bahawa “setiap penjudi diberikan kecelakaan, dan setiap penjudi adalah dalam keadaan mabuk selama ia berjudi.”
Meskipun terdapat aspek hiburan dalam judi bagi sebilangan individu, lebih ramai cenderung terlibat dengan judi semata-mata tujuan mendapatkan keuntungan dari segi wang. Namun adalah lebih penting untuk sedar dan mengambil perhatian bahawa lebih banyak keburukan dan mudarat sekiranya seseorang individu itu terlibat dalam perjudian seperti berikut:
- Ketagihan
- Masalah Kewangan
- Masalah Kesihatan Psychological
- Masalah Hubungan Kekeluargaan
- Masalah Dengan Penguatkuasaan Undang-Undang / Jenayah
- Kerugian Produktiviti
- Risiko Terhadap Kesihatan
Di Malaysia pada masa kini, lesen operasi perjudian dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula mengeluarkan lesen premis perniagaan bagi tujuan menjalankan aktiviti perjudian berpandukan lesen operasi yang dikeluarkan oleh MOF. Namun demikian, MOF telah menetapkan syarat lesen dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat kepada pemegang lesen bagi memastikan industri perjudian dapat dikawal dengan berkesan dan memastikan perjudian tidak mendatangkan masalah sosial seperti ketagihan judi melampau. Untuk makluman, pada masa kini tiada lagi pengeluaran lesen premis perjudian dikeluarkan di negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.
Kesimpulannya, adalah penting untuk kita memahami bahawa judi bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah kewangan mahupun emosi, malah ia akan mendatangkan lebih banyak masalah dan kemudaratan di kemudian hari. Bagi yang mempunyai masalah obses dan ketagihan judi, seeloknya dapatkan bantuan dan nasihat daripada pengamal perubatan dalam bidang kesihatan psychological supaya ianya dapat mengawal dan membendung keinginan untuk terus-terusan terlibat dalam perjudian.